Thursday, June 4, 2009

HIDROKUINON

Keghairahan sesetengah wanita untuk memiliki kulit cerah dengan cara cepat menggunakan kosmetik murahan menenggelamkan nasihat pakar kecantikan dan kesihatan, walaupun bahaya mengenai bahan terlarang sudah acap kali dibincangkan.

Malah, tindakan kerajaan merampas sesetengah jenis kosmetik jelas menggambarkan, sememangnya kosmetik berkenaan mengandungi bahan terlarang yang membahayakan pengguna dan ia sepatutnya menjadi pencetus kesedaran kepada wanita supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan dan dakwaan pengeluar produk.

Keinginan menukar kulit wajah sebenarnya menunjukkan seseorang individu itu tidak yakin dengan diri sendiri. Jika anda menganggap kecantikan diukur pada warna kulit, bermakna tafsiran anda sangat sempit.

Kecantikan seseorang wanita tidak hanya terletak pada warna kulit atau tebalnya solekan di muka. Ukuran kecantikan sejagat membabitkan jati diri dan keperibadian mulia.

Bagaimanapun, bukan semua orang boleh menerima pendapat begini. Dalam satu kaji selidik oleh Synovate pada 2004, 61 peratus wanita dari lima negara iaitu Hong Kong, Malaysia, Filipina, Korea Selatan dan Taiwan berkata, mereka tampak lebih muda jika memiliki kulit cerah.

Kaji selidik berkenaan juga mendapati, 50 peratus wanita Filipina, 45 peratus wanita Hong Kong dan 41 peratus wanita Malaysia menggunakan produk pencerah wajah.

Kenapa warna kulit kita berbeza-beza? Warna kulit ditentukan oleh penghasilan melanin pada lapisan sel bawah kulit. Lebih banyak melanin dihasilkan, kulit akan menjadi lebih gelap.

Tuhan tidak akan mencipta sesuatu tanpa fungsi tertentu dan melanin adalah daya pertahanan semula jadi untuk kulit terhadap sinar ultra lembayung dalam cahaya matahari.

Tanpa melanin, kulit kita sebenarnya lemah dan perlu dilindungi daripada cahaya matahari bagi mengelak kemungkinan mendapat kanser kulit.

Malangnya, ramai tidak sedar hakikat ini dan ingin membuang bahan berkenaan supaya tampak lebih cantik.

Sebelum anda mencuba mana-mana produk kecantikan, terutama jenama yang tidak pernah didengar sebelum ini, satu perkara perlu diingat iaitu anda memperjudikan bahagian paling penting iaitu muka untuk menerima apa jua kesan sampingan produk berkenaan.

Jadi sebelum melumurkan sebarang krim, tanya pada diri, sanggupkah anda menjadikan muka sebagai tempat ujian yang tidak pasti lagi kesannya?

Hidrokuinon sebenarnya bahan peluntur kuat yang digunakan dalam industri fotografi, getah dan agen aktif melunturkan warna rambut.

Walaupun diharamkan, masih ada sesetengah pengeluar tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan menggunakan bahan aktif berbahaya seperti monobenzil dan monometil hidrokuinon, raksa, asid askorbik dan peroksida dalam produk mereka untuk membolehkan pengguna melihat kesan cepat seperti diharapkan kebanyakan wanita.

Baik hidrokuinon atau raksa, kedua-dua ada bertindak dengan cara lebih kurang sama. Pada peringkat awal penggunaan, kulit menjadi cerah manakala parut dan pigmentasi hilang kerana hidrokuinon dan raksa menghalang penghasilan melanin.

Melihat kesan diharapkan, ramai wanita menganggap ia produk baik dan terus menggunakannya bagi mengekalkan kecantikan yang baru dimiliki. Di sinilah bermulanya masalah mereka. Hidrokuinon atau raksa yang disapu pada kulit akan bertindak balas dengan sinar ultra lembayung (UV) dan berlakulah proses pengoksidaan semula.

Mungkin ada yang tidak faham proses pengoksidaan ini. Ada cara mudah untuk memahaminya. Hiris sebiji epal dan biarkan ia seketika. Selepas beberapa minit anda lihat epal bertukar menjadi coklat. Ini bermakna proses pengoksidaan berlaku dan begitu juga yang terjadi kepada kulit anda.

Proses pengoksidaan semula menghasilkan lebih banyak pigmentasi dan mempercepatkan penuaan. Warna kulit menjadi tidak rata dan nampak ada kesan tompok hitam. Untuk membetulkan semula keadaan ini, lebih banyak hidrokuinon diperlukan dan proses sama akan berulang.

Pada masa sama, penghasilan melanin akan terhenti. Ketiadaan melanin bermakna kulit hilang daya perlindungannya dan sangat lemah. Ia sangat sensitif pada cahaya matahari dan lebih mudah mendapat kanser kulit.

Logam berat seperti raksa bukan saja merosakkan, tetapi berkumpul di dalam sel di bawah kulit dan boleh berpindah ke sel lain hingga sampai ke organ lain.

Pengumpulan raksa boleh menyebabkan keracunan hati dan kerosakan buah pinggang � dua organ utama yang bertindak sebagai penapis bahan toksik.

Seperkara yang perlu diingat, lebih cepat sesuatu produk itu mampu mencerahkan kulit anda, bermakna kepekatan bahan pemutih dalam produk itu lebih tinggi. Antara bahan aktif berbahaya dalam produk kecantikan ialah:

Hidrokuinon � Menghentikan penghasilan melanin iaitu bahan yang melindungi kulit daripada sinaran ultra lembayung. Apabila menggunakan produk mengandungi bahan ini, kulit muka menjadi kemerahan, rasa pedih dan terbakar apabila terkena cahaya matahari terik.

Penggunaan berterusan menyebabkan warna kulit tidak sekata dan bertompok hitam. Hidrokuinon juga boleh meresap ke dalam sel dan memasuki aliran darah. Pengumpulan hidrokuinon dalam badan boleh menjejaskan pendengaran dan menyebabkan pelbagai masalah lain seperti menggigil, mual, muntah, sakit kepala, sukar bernafas, sawan dan mungkin koma.

Trietinon � Kulit menggelupas, kering, sensitif pada cahaya matahari dan banyak jeragat.

Raksa � Kesan raksa kepada kulit sama seperti hidrokuinon dan pengumpulannya dalam badan boleh menyebabkan seseorang mengalami pelbagai masalah, antaranya muntah, cirit-birit, keracunan hati dan buah pinggang serta gangguan saraf.

Pembelian produk kosmetik adalah satu pelaburan. Justeru, pastikan wang anda dilabur untuk produk berkualiti dan boleh dipercayai.

Proses ini mungkin mengambil masa kerana semua pengeluar mendakwa menggunakan bahan semula jadi dalam produk mereka.

Seperkara lagi, usah cepat terpengaruh dengan penampilan model atau jurucakap sesuatu produk kerana pemilihan mereka dibuat berdasarkan wajah dan kulit yang sememangnya cantik.

Selain itu, jika produk yang diperkenalkan kepada anda tiada label bahan yang digunakan, talian atau laman web pengeluar, lupakan saja niat anda untuk mencubanya.

Jadilah pelabur bijak kerana pelaburan dalam penjagaan kecantikan bukan hanya membabitkan wang, tetapi masa dan paling penting, kulit muka anda.

Jangan jadikan muka sebagai medan melakukan ujian keberkesanan bahan terlarang kerana dikhuatiri kesan sampingannya kekal sehingga tua.

Berdasarkan buku panduan Kosmetik dan Penjagaan Diri: Bahaya dan Kesan Sampingan terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, ada cara tradisional boleh digunakan untuk mencerahkan kulit iaitu menggunakan kuning telur, minyak jagung dan sedikit air sebagai topeng muka (masker).

Selain itu, jus nanas segar boleh menaikkan seri kulit yang kusam. Caranya, rendam tuala muka ke dalam jus nanas (campur air jika terlalu pekat) dan letak tuala pada muka selama 15 minit.

Kandungan enzim bromelain dalam jus nanas boleh melarutkan sel kulit mati yang menyebabkan pengumpulan lebih banyak sel mati di muka.

Kaedah tradisional ini mungkin lambat menunjukkan kesannya, tetapi yang penting ia selamat dan bebas bahan kimia berbahaya.

No comments:

Post a Comment